PERSEKITARAN POLITIK `GHAIRU SOLEHAH` MENYERLAHKAN MINDA KOLOT PEMERINTAH MALAYSIA

BEZA PAKATAN RAKYAT DAN BARISAN NASIONAL SEMASA MEMERINTAH PULAU PINANG

BEZA PAKATAN RAKYAT DAN BARISAN NASIONAL SEMASA MEMERINTAH PULAU PINANG
lu pikir la sendiri...

NAK CEPAT.. KLIK ARTIKEL DI BAWAH

PROGRAM I`TIKAF DAN QIAMULLAIL DI MASJID AT TAQWA.. PADA 26 HB MAC 2010 NI.. JANGAN LUPA..

PROGRAM I`TIKAF DAN QIAMULLAIL DI MASJID AT TAQWA.. PADA 26 HB MAC 2010 NI.. JANGAN LUPA..
Program anjuran Urusan Ulamak PAS Kawasan Kepala Batas bertujuan untuk menyemarakkan suasana mahabbah dan ukhuwwah di kalangan ahli jamaah Islam...stiap Jumaat minggu ke 4.. sama2lah kita semua memberi sumbangan...

SETIAP AHLI PAS PERLU MENJADI AHLI USRAH

SETIAP AHLI PAS PERLU MENJADI AHLI USRAH
Jommmmmmmmmmmm join usrah..

APE CITE NI

APE CITE NI
Hati yang tenang dan tenteram dipenuhi dengan amalan zikir ilallah yang berterusan..

Wednesday, October 27, 2010

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009

 

Pulau Pinang catat hasil paling tinggi

Regina Lee
Okt 26, 10
5:21pm

 

Kongsi 668

Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mencatatkan hasil pendapatan paling tinggi buat dua kali berturut-turut - ia berjaya memungut RM1.1 bilion dalam dana terkumpul bagi seluruh tahun 2009.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, Pulau Pinang adalah negeri tunggal Pakatan Rakyat yang menerima penarafan 'baik'berhubung kedudukan kewangannya - mereka juga mengumpul 29.1 peratus dalam pendapatan sebenar, membawa jumlah keseluruhan kepada RM376.51 juta.

Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memecahkan rekod apabila dana terkumpulnya mencecah RM1.025 bilion seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN, dana terkumpul Pulau Pinang adalah RM847.45 juta bagi 2007.

Dana terkumpul itu adalah kombinasi pendapatan akaun, pinjaman dan juga dana saham amanah.

Pungutan hasil juga naik dengan ketara daripada RM296 juta pada 2007 kepada RM371 juta pada 2008. Hasil bagi 2009 pula adalah pada RM376 juta.

Laporan Audit itu juga mendedahkan bahawa Dana Amanah Perumahan Bumiputera telah buat kali pertama ditubuhkan dengan RM12.65 juta disalurkan untuk tujuan berkenaan.

Tiga agensi negeri menerima penarafan 'sangat baik' berbanding hanya dua pada 2008. Agensi berkenaan adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, jabatan kewangan negeri dan pejabat daerah bahagian barat daya.

Selangor ketinggalan

Dua lagi negeri yang dikuasai oleh Pakatan - Kedah dan Kelantan, mencatatkan peningkatan dalam dana terkumpulnya pada 2009 berbanding tahun sebelum itu.

Kelantan mencatatkan pertumbuhan besar 252 peratus kepada RM97.23 juta berbanding RM27.58 juta pada tahun 2008.

Hasil di Selangor pula, pada masa yang sama jatuh 7.3 peratus kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.42 bilion pada 2008.

Pada RM1.32 bilion, ia juga adalah jauh lebih rendah daripada dana terkumpul RM1.39 bilion yang diperolehi semasa pentadbiran BN pada 2007.

Pentadbiran negeri Kedah pula menunjukkan peningkatan 5.1 peratus dana terkumpulnya kepada RM265.52 juta bagi tahun 2009.

Perlis diklasifikasi kurang memuaskan

Laporan Ketua Audit Negara 2009 juga mendedahkan Perlis sebagai satu-satunya negeri yang diklasifikasikan sebagai kurang memuaskan dari segi sistem penyampaian, terutama selepas gagal memastikan semua agensi negeri diaudit sebelum tarikh tamat 30 April.

Berdasarkan laporan itu, hanya tiga agensi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit sebelum tarikh tutup, manakala baki enam lagi dilaporkan gagal.

Sementara itu, Bernama melaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2009 menyatakan lapan projek pembinaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak disiapkan
melewati tempoh kontrak, sementara satu projek terbengkalai.

Perak juga ada masalah

Lapan projek itu kelewatan antara 144 hingga 629 hari.

Projek-projek itu ialah Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar.

"Semakan mendapati empat daripada lapan projek telah disiapkan setelah mendapat Perakuan Kelewatan dan Lanjutan Masa (PLKM) dan tempoh masa berdenda antara RM60,000 hingga RM214,220.

"Manakala tiga projek telah siap setelah diberikan PLKM dan satu lagi projek iaitu Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar masih belum disiapkan dan dalam tempoh masa berdenda.

"Kelulusan PLKM kedua tanpa sebab telah diberikan kepada kontraktor untuk pembinaan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar," kata laporan itu.

Laporan itu berkata punca kelewatan menyiapkan projek disebabkan oleh kelewatan kerja-kerja ujian tanah, kelewatan pihak kontraktor menerima arahan perubahan kerja, perubahan skop kerja dan kerja-kerja tambahan.

Menurut laporan itu, kelewatan telah menyebabkan kos projek Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping meningkat sejumlah RM168,152 atau 3.5 peratus daripada RM4.91 juta kepada RM5.08 juta.

"Kos projek Bangunan Kompleks Pejabat MPTI meningkat sejumlah RM2.21 juta atau 39.9 peratus daripada RM5.54 juta kepada RM7.75 juta.

Manakala kos projek Bangunan Kompleks Perniagaan dan Pejabat MPKK meningkat daripada RM3.98 juta kepada harga kontrak baru berjumlah RM5.33 juta atau 33.9 peratus kerana penamatan kontraktor pertama," menurut laporan itu.

Dalam pada itu, projek Pembinaan Dewan Serba Guna Padang Bandaran Kuala Kangsar bernilai RM6.7 juta yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak sebagai agensi pelaksana dan dibina oleh Serata Johor Sdn Bhd terbengkalai dan tidak disiapkan mengikut jadual asal kontrak.

Peruntukan membiayai pembinaan diterima daripada kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan berjumlah RM10 juta dan berdasarkan kontrak, tempoh projek selama 52 minggu itu bermula Mac 2008 dan dijangka siap Jun tahun lepas.

"Berdasarkan laporan kemajuan kerja, pelaksanaan kerja telah mencapai 63 peratus siap. Surat penamatan dikeluarkan terhadap kontraktor pada 30 Jun 2009 kerana tiada kerja dilakukan semenjak 25 Mei 2009," kata laporan itu.

Menurut laporan itu juga prestasi pelaksanaan projek adalah lemah kerana kurang pemantauan oleh PBT dan Jabatan Kerja Raya terhadap perunding dan kontraktor.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan kerajaan negeri Perak dan PBT membuat pemantauan terhadap projek pembinaan secara berterusan supaya siap mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan dan peningkatan kos serta menyenaraihitamkan kontraktor berkenaan.

[Baca berita penuh]

 

Ketua Audit: Hutang negara pada paras tertinggi

Okt 25, 10 8:03pm

 

Kongsi 2255

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.

Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.

Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.

Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.

Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan

 

Pengimbas jutaan ringgit tersadai, kurang diguna

Wong Teck Chi
Okt 25, 10
6:21pm

 

Kongsi 387

Jutaan ringgit dana rakyat dibazirkan oleh agensi kerajaan kerana sejumlah mesin pengimbas yang dibeli tidak digunakan sepenuhnya, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Ini termasuk empat mesin pengimbas jenis Mobile Rapidscan MAX 3345 dan sebuah jenis Portal THSCAN HS 3000 yang dimiliki oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan ditempatkan di pejabat jabatan berkenaan di seluruh negara yang menelan belanja sebanyak RM 31.96 juta.

Semua mesin ini yang dibeli pada 2003 itu didapati langsung tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum oleh agensi kerajaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu kerana kekurangan pegawai yang berpengalaman mengendalikannya atau disebabkan masalah teknikal.

Tiada justifikasi, beli tanpa kelulusan

Paling mengemparkan ialah pada 14 Januari tahun ini, Jabatan Kastam diberi kelulusan untuk melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatan penyenggaraan secara rundingan terus selama dua tahun untuk pengimbas jenis Mobile Rapidscan Max 3345 di Kompleks Kargo, Tanjung Puteri sedangkan ia tidak beroperasi sejak 2006 dan dalam proses pelupusan.

Anggaran kos kontrak penyenggaraan bagi tujuh mesin pengimbas jenis Mobile Rapidscan Max 3345 di seluruh negara itu berjumlah RM4.55 million.

"Pihak Auditor tidak dapat menentukan justifikasi pelanjutan tempoh kontrak berkenaan memandangkan Jabatan Kastam sedang menunggu keputusan pelupusan / dalam proses menjalankan kajian kesesuaian penggunaan semua mesin pengimbas tersebut," laporan audit itu dipetik.

Pihak Auditor juga mendapati sejumlah RM1.17 juta dibayar untuk penyenggaraan mesin pengimbas yang tidak beroperasi.

Berhubung pengimbas Soter RS yang bernilai RM1.48 juta yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA yang dibeli pada Ogos 2008 untuk menangani penyeludupan dadah, Laporan Ketua Audit Negara mendapati pembelian dibuat tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“(Pembelian tanpa kelulusan) dibuat berdasarkan keperluan mendesak bagi mengimbas kemasukan barangan bahaya seperti dadah yang berada pada tahap membimbangkan.”

Namun pengimbas itu tidak dapat digunakan sehingga Januari 2010 kerana pegawai Jabatan Kastam tidak mempunyai kepakaran bagi mengendalikannya.

Laporan itu juga mendedahkan sehingga 4 Februari tahun ini, pengimbas itu telah hanya digunakan untuk lapan kali.

[Baca berita penuh]

 

 

 

 

Liwat II ditangguh ke 2 petang, Karpal akan hadir

Okt 27, 10 10:35am

 

Kongsi 0

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membicarkan kes liwat yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini ditangguhkan sehingga jam dua petang ini.

Sebelum perbicaraan bermula kedua-dua pihak - pembelaan dan pendakwaan berbincang di kamar hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.

Ketika perbicaraan , seorang lagi peguam yang mewakili ketua pembangkang itu - Sankara Nair memaklumkan kepada mahkamah bahawa ujian denggi ke atas peguam utama Karpal Singh menunjukkan keputusan negatif.

Katanya, meskipun Karpal masih lemah dan dilanda cirit-birit pula, beliau akan datang ke mahkamah pada jam dua petang ini.

Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata beliau tidak ada bantahan berhubung penangguhan itu tetapi berharap ia diteruskan pada waktu yang dijanjikan itu.

Hakim Zabidin kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga jam 2 petang ini.

Sankara memberi jaminan jika Karpal tidak hadir, peguam lain akan menjalankan soal-balas ke atas saksi.

Selain Sankara, peguam lain yang berada di mahkamah hari ini adalah Param Cumaraswamy.

Anwar hari ini ditemani anaknya Nurul Nuha.

Pada perbicaraan dua hari lalu, peguam bela, Karpal Singh menyoal-balas pakar bedah am Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Razali Ibrahim yang membuat pendedahan bahawa wujud sebuah laporan pemeriksaan awal terhadap pengadu utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan tetapi laporan itu tidak dibentangkan di mahkamah.

Anwar, 63, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2v

 

008.

 

 

KTMB catat kerugian RM1.45b sehingga 2008

Okt 26, 10 7:06pm

 

Kongsi 177

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM1.45 bilion sehingga 2008 dan kerugian yang ditanggung menyebabkan syarikat pengangkutan keretapi milik kerajaan berkenaan tidak mampu menanggung kos operasi sendiri dan hutang.

Dalam laporan dari 2006 hingga 2008 yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang dibentangkan di Parlimen semalam, prestasi kewangan KTMB mempamerkan tahap yang tidak memuaskan berikutan kerugian yang ditanggungnya untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Beliau berkata KTMB menanggung kerugian berjumlah RM118.91 juta pada tahun 2008 berbanding RM82.81 juta pada tahun sebelumnya.

"Berikutan itu,bermula 1994 sehingga 2008, KTMB terpaksa mendapatkan bantuan kewangan dalam bentuk suntikan dana tunai berjumlah RM760 juta dari kerajaan," kata Tan Sri Ambrin lagi dalam laporan audit yang dibentangkan.

Laporan Ketua Audit Negara juga menyebut, peningkatan kerugian berjumlah RM36.60 milion iaitu sebanyak 44.5 peratus pada 2008 adalah disebabkan peningkatan mendadak kos operasi KTMB yang berjumlah RM49.03 juta.

Menurutnya lagi, peningkatan berkenaan adalah 9.6 peratus lebih tinggi daripada jumlah kos operasi bagi tahun 2007.

Laporan iu juga menyebut, KTMB masih belum membayar bayaran faedah yang sudah matang setakat Julai 2010 daripada lima pinjaman berjumlah RM880.5 juta yang diperolehi daripada kerajaan persekutuan sehingga Disember 2008.

Laporan audit berkenaan menambah, KTMB tidak membuat sebarang pembayaran balik kepadda hutangnya sejak dua hingga lapan tahun lalu.

Ini bermakna, pembayaran faedahi terhadap kelima-lima pinjaman terbabit perlu dibuat pada 2010 dan keadaan itu bakal menjurus kepada jumlah pembayaran faedah tertunggak meningkat kepada RM703 juta," sebut laporan Ketua Audit Negara berkenaan lagi.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran semula hutang-hutang terbabit yang berakhir selewat-lewatnya pada 2025 akan menyebabkan kepada pembayaran aliran tunai berjumlah RM1.43 bilion.

 

 

Tabung Haji: RM 435,000 dikeluarkan secara tak sah

Okt 26, 10 6:25pm

 

Kongsi 105

Sejumlah RM435,850 telah dikeluarkan melalui 113 proses transaksi yang tidak sah melibatkan 56 akaun pendeposit Lembagai Tabung Haji (LTH) di lima buah negeri bagi tahun 2007 hingga tahun lepas, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Sabah mencatatkan kes pengeluaran tidak sah tertinggi melibatkan 46 akaun dan jumlah pengeluaran RM355,100, diikuti Wilayah Persekutuan, Terengganu, Melaka dan Selangor.

Menurut laporan itu, antara punca kes pengeluaran wang tidak sah adalah wujudnya pakatan antara juruwang dan penyelia bagi membuat pengeluaran wang tanpa pengetahuan atau kehadiran pendeposit serta kecuaian penyelia untuk mengesahkan kehadiran pendeposit.

Selain itu, maklumat pendeposit seperti nombor akaun, nama dan baki akaun juga dapat diakses oleh juruwang walaupun LTH telah mengeluarkan arahan kerahsiaan maklumat akaun pendeposit pada 2008.

Justeru, LTH diingatkan agar memastikan kawalan dalaman dipatuhi dan beroperasi dengan baik untuk mengelakkan penyelewengan pada masa hadapan, selain melakukan penambahbaikan secara berterusan supaya pengurusan akaun pendeposit dilaksanakan dengan cekap dan teratur.

Laporan itu juga menyatakan sebanyak 100 kes pengeluaran melebihi baki akaun telah berlaku dari 2001 hingga 2009 yang melibatkan sejumlah RM115,191.

"Analisis audit mendapati 55 kes disebabkan kesilapan maklumat potongan gaji oleh majikan, cek ditolak bank (15 kes), perbelanjaan haji (15 kes) dan punca lain seperti simpanan dan pengeluaran di Mekah dan Jeddah (15 kes)," kata laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa bilangan pendeposit baru Tabung Haji telah meningkat kepada 617,614 orang pada 2009 berbanding 310,739 orang pada 2008.

Ini menjadikan bilangan pendeposit terkumpul seramai 5.36 juta orang pada 2009.

Dengan itu, Kumpulan Wang Pendeposit mencatatkan peningkatan dari RM20.58 bilion pada 2008 ke RM23.59 bilion pada tahun lalu.

- Bernama

 

Audit: Pelajar tak layak juga dapat wang KWAPM

Okt 26, 10 6:15pm

 

Kongsi 170

Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kementerian Pelajaran sehingga menyebabkan kelewatan dalam pengagihan bantuan.

Menurut laporan itu, kelemahan lain pula ialah tidak mematuhi beberapa peraturan mengenai pengurusan permohonan dan penyelenggaraan rekod berhubung bayaran juga kurang memuaskan.

Kelemahan-kelemahan itu antaranya berpunca daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan yang tidak menjalankan fungsinya dengan berkesan, kekurangan Pembantu Tadbir serta latihan secukupnya tidak diberikan kepada pihak yang terlibat dengan pengurusan KWAPM.

Menurut garis panduan KWAPM, wang bantuan perlu diserahkan kepada murid yang layak dalam masa tujuh hari bekerja selepas cek/tunai diterima oleh sekolah, bagaimanapun, semakan audit di 45 buah sekolah di empat buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pahang dan Sarawak, mendapati sebanyak 29 sekolah telah lewat membuat pembayaran antara 12 hingga 152 hari dari tarikh cek/tunai diterima.

Semakan audit mendapati kelewatan itu antaranya disebabkan oleh kementerian tidak memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang telah dikreditkan ke dalam akaun sekolah.

Menurut laporan tersebut, ada juga sekolah yang memberikan bantuan KWAPM kepada murid yang tidak memenuhi kriteria.

"Seramai 12 murid di empat buah sekolah telah diluluskan bantuan walaupun pendapatan yang dicatatkan dalam borang permohonan tidak melayakkan murid tersebut mendapat bantuan," kata laporan itu.

Bagi memastikan kelayakan penerima bantuan tidak dipertikaikan, laporan itu mengsyorkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bantuan memastikan semua borang permohonan diisi dengan lengkap dan disokong dengan dokumen sokongan.

Kementerian juga dicadangkan untuk mengambil tindakan terhadap guru yang mencatatkan maklumat pendapatan dan tanggungan yang tidak benar bagi tujuan melayakkan seseorang murid menerima bantuan.

Laporan itu juga mencadangkan kementerian supaya memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang bantuan dikreditkan ke dalam akaun sekolah dengan menggunakan medium elektronik seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas.

Selain itu, laporan itu turut mengsyorkan kementerian mewajibkan semua skolah mengkreditkan wang bantuan terus ke akaun penerima bantuan bagi engelakkan kes kehilangan dan penyelewengan wang bantuan.

- Bernama

 

 

No comments: