PERSEKITARAN POLITIK `GHAIRU SOLEHAH` MENYERLAHKAN MINDA KOLOT PEMERINTAH MALAYSIA

BEZA PAKATAN RAKYAT DAN BARISAN NASIONAL SEMASA MEMERINTAH PULAU PINANG

BEZA PAKATAN RAKYAT DAN BARISAN NASIONAL SEMASA MEMERINTAH PULAU PINANG
lu pikir la sendiri...

NAK CEPAT.. KLIK ARTIKEL DI BAWAH

PROGRAM I`TIKAF DAN QIAMULLAIL DI MASJID AT TAQWA.. PADA 26 HB MAC 2010 NI.. JANGAN LUPA..

PROGRAM I`TIKAF DAN QIAMULLAIL DI MASJID AT TAQWA.. PADA 26 HB MAC 2010 NI.. JANGAN LUPA..
Program anjuran Urusan Ulamak PAS Kawasan Kepala Batas bertujuan untuk menyemarakkan suasana mahabbah dan ukhuwwah di kalangan ahli jamaah Islam...stiap Jumaat minggu ke 4.. sama2lah kita semua memberi sumbangan...

SETIAP AHLI PAS PERLU MENJADI AHLI USRAH

SETIAP AHLI PAS PERLU MENJADI AHLI USRAH
Jommmmmmmmmmmm join usrah..

APE CITE NI

APE CITE NI
Hati yang tenang dan tenteram dipenuhi dengan amalan zikir ilallah yang berterusan..

Thursday, October 30, 2008

BUKU ORANG MASJID KONTEMPORARI


Assalamu`alaikum ........ Ini lah buku saya yang telah diterbitkan dan diedar pada bulan februari lalu .... 4000 naskhah telah berada di pasaran ...

Di sini saya mengambil beberapa petikan dari tulisan saya yang terdapat dalam buku ini... Mungkin ada manfaat untuk saya dan anda semua...


TOPIK 1

Dakwah, Persekitaran Dan Ummah

``` Jadi kita mestilah merasakan diri kita ini, adalah pendakwah atau Islamic Workers yang berada dalam satu wadah Islam yang mempunyai satu matlamat yang murni. Kita mestilah berperanan sebagai Penyelesai Masalah Ummah secara praktikal di tengah-tengah masyarakat yang sentiasa mengharapkan bantuan.```

TOPIK 2

Pendakwah mesti sedia ditarbiyah

```Walaupun begitu, ramai di kalangan kita yang beranggapan bahawa seorang pendakwah itu adalah mereka yang pandai berbicara, boleh menarik ‘crowd’ , pandai buat lawak dan yang seumpamanya. Perlu difahami juga bahawa pendakwah tidak semestinya menjadi penceramah. Perdakwah tak semestinya pandai bercakap atau petah berpidato di khalayak ramai. Adakah OKU seperti orang bisu tidak boleh berdakwah ?```

TOPIK 3

Benarkah kita beriltizam dengan Islam

```Jalan terbaik untuk mengekalkan iltizam kepada Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah.```

Topik 4

Mahkamah Syariah : Antara Teori Dan realiti

```Usaha penerangan perlu diteruskan dan kesatuan daripada semua pihak perlu dipertingkatkan dalam memertabatkan Mahkamah Syariah dan seterusnya merealisasikan Islam dalam kehidupan.```

Topik 5

Fikrah dari Hadith – Amanah Keilmuan

```Segala persoalan serta isu-isu yang timbul yang tidak diketahui dengan jelas eloklah jangan dicuba untuk dihurai. Tidak salah serta tidak menjatuhkan maruah jika ia mengaku tidak tahu atau dengan ungkapan yang amat masyhur di kalangan ulamak salaf dan khalaf: الله أعلم (Allah yang maha mengetahui). Bahkan ungkapan itu adalah ilmu yang cukup bernilai dan harga diri yang amat tinggi.```

Topik 6

...Alahai... Article 121(1A)...

```Renungilah bersama Wahai Umat Islam, sekiranya dipinda, seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi Islam, sebarang kes pertukaran agama dikendalikan oleh mahkamah Sivil. Orang Islam bebas untuk murtad.```

Topik 7

Kefahaman terhadap berdakwah secara jamaie

```Dimanakah sumber kekuatan dakwah? Sebenarnya, kekuatan dakwah bermula dari kekuatan IMAN, kemudian diikuti oleh kekuatan Ukhuwah Islamiyah, kemudian barulah diikuti dengan kekuatan material dan organisasi.```

Topik 8

Dakwah dan Tarbiyah- wasilah utama Menjana Ummah Gemilang

```Rasulullah saw memulakan jihadnya melalui dakwah dan tarbiyah, ummah bukan terbentuk secara tiba-tiba atau kebetulan tanpa apa-apa persediaan dan pembentukan bahkan Rasulullah saw menghadapi berbagai kesukaran dan halangan dan terus berjihad sehingga terbentuk satu ummah yang terpuji sebagai Khaira Ummah yang diabadikan di dalam Al-Quran.```

Topik 9

Ambil iktibar dari peristiwa ` Muktah`

```Sebab itulah orang-orang yang beriman sentiasa hidup dalam kemuliaan dan hidup atas semboyan ,،، عش كريما او مت شهيدا ،، yang bermaksud “ Hiduplah secara terhormat, atau mati sebagai pahlawan (syahid) “ . Renungilah bersama.```

Topik 10

HPA maju bersama program dakwah dan tarbiyah?

```Juga perlu disedari, duit kita di dalam bank masih belum menjadi rezeki kita kecuali kita telah menggunakannya. Nasi di hadapan kita masih belum menjadi rezeki kita kecuali kita telah memasukkan ke dalam mulut kita. Cek yang kita terima setiap bulan masih belum menjadi rezeki kita kecualilah kita telah memanfaatkannya.```

``` Rezeki juga bukan hanya berkisar dari hal `boleh makan dan boleh minum ` sahaja . Dapat makan, dapat minum, selesai, itu rezeki kita, bukan setakat itu. Rezeki bukan hanya pendapatan bulanan semata-mata. Rezeki bukan hanya berbentuk `maddiah` atau kebendaan semata-mata. Rezeki juga berbentuk perasaan dan anugerah Ilahi seperti gembira, senang hati, anak yang soleh, isteri yang solehah, suasana persekitaran yang baik, tubuh badan yang sihat dan sebagainya.```

Topik 11

Rasuah keliling `pinggang`

``` Aku dapat nanti, projek tu, aku buat la kenduri kat masjid, teghok nak dapat gheja la ni.. duit lebih tu aku sedekah .. aku derma kat anak yatim`... Tuuu diaaa .. duit rasuah meresapi dalam program kebajikan... Tak mustahil, duit rasuah juga digunakan untuk menunaikan Haji dan Umrah... Berkat kot no!!!```

```La ni tak kan kita nak tengok saja kot.. Tak kan kita nak tumpang semangkok kot . Tak kan kita nak libat kot . Tak kan nak join sekaki kot. Mana peranan kita sebagai pendakwah ? Mana peranan kita sebagai hamba Allah? Mana peranan kita sebagai penyebar risalah Islam ? Mana ilmu yang kita mengaji masa sekolah dulu? Mana identiti kita sebagai orang mukmin?``` Malulah kita kat Allah, Pencipta kita.```

Topik 12

`Anak Halal` vs `Anak Haram`

```Anak itu tidak salah. Anak bukannya `tepung naik sendiri`. Yang salahnya ibu bapanya atau ibunya sahaja atau bapanya sahaja atau lebih daripada itu. Suasana persekitaran dan masyarakat yang tidak soleh adalah penyebab bersepahnya anak luar nikah?. Betul ke?.. Orang itu salah... Orang ini salah... Siapa salah sebenarnya?.```

```Tak kan kita hanya mengeloh sahaja. `Nak buat macam mana, dah teghok dah`. Tak kan kita nak dok saja sampai kena kat `batang hidung` kita baru nak bertindak. Takut orang kata `jaga tepi kain orang` atau `busy body`? `Jaga tepi kain orang` sebenarnya ok, tak salah dalam Islam. `Jaga dalam kain orang` yang salahnya. `Busy body` ada mengikut Islam. `Busy` pasal `body` orang, yang salahnya. Mana dia jati diri anak bangsa kita? Mana dia syakhsiah solehah yang patut ditonjolkan? Mana dia program modal insan yang diwar-warkan?```



Sunday, October 26, 2008

UMNO TERUS TIDAK RELEVAN KALAU ....????

UMNO TERUS TIDAK RELEVAN KALAU…….????

Pilihanraya yang ke 12 telah pun tamat, tetapi rata-rata rakyat Malaysia khususnya penganalisa politik tempatan sentiasa ternanti-nanti apa yang akan berlaku dari hari ke hari. Akhbar alternatif terus menjadi tumpuan kebanyakan daripada kita. Media arus perdana pun tidak ketinggalan untuk bersaing dengan media alternatif dalam menarik minat pembaca dan pendengar dengan isu-isu dan perkembangan politik yang berlaku setiap hari. Berita perdana dan nightline sentiasa menjadi tumpuan. Website dan tulisan bloggers sentiasa dikunjungi oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Di kedai-kedai kopi, berdasarkan pengalaman sendiri, kebiasaannya perbincangan menjurus kepada keadaan hal ehwal politik semasa Malaysia. Ungkapan seperti `tak sangkalah .. macam mana boleh jadi macam ni..` `peliklah.. sebab apa kalah teruk sangat..` `betulkah .. kita dah menang ni...`. Sehinggakan ada ungkapan yang keluar daripada mulut kawan-kawan Penang yang terlibat dalam business . ` Hang jangan buat main-main la ni .. jangan dok rasuah sana.. rasuah sini... nanti Guan Eng tangkap hang.. makan tak habih kot... ’ .

Berita negeri Perak, Penang dan Kedah memenuhi ruang akhbar STAR seksyen utara. Sebelum PRU 12, semua ni tak berlaku. Rakyat ternanti-nanti apa Mr Lim Guan Eng, Ir Nizar dan Ustaz Azizan nak cakap. Akhbar pro BN juga sentiasa bersiap sedia nak tembak , siapa yang kena pada hari ini, melakukan provokasi dengan menimbulkan isu perkauman, cuba memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat dan sebagainya. Di mimbar-mimbar masjid, khatib-khatib telah berani menunujukkan belang mereka sebagai seorang pendakwah yang sebenar. Sebelum ini sebahagian mereka menikus ketakutan. Tak lupa juga para guru-guru dan pegawai kerajaan, terang-terang menzahirkan diri dalam ceramah-ceramah politik yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat. Tak takut atau segheyau dah macam dulu-dulu. Cawangan-cawangan baru PAS dan PKR tumbuh bagaikan cendawan. Di Penang, 3000 borang ahli PAS habis dalam masa tiga minggu sahaja sedangkan PAS menang satu kerusi sahaja. Di Kedah, dikatakan 40 000 borang PAS habis laris macam goreng pisang panas. Aiikk.. kenapa jadi begini. Wallahua’lam.

Dengan undi popular yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat di Semenanjung Malaysia sebanyak 52%. Dengan 5+1 negeri berada di bawah pemerintahan baru kerajaan Pakatan Rakyat. Barisan Nasional hanya memperolehi undi popular 50.2 % di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. `Nasib baik ada Sabah dan Sarawak, kalau tidak BN tungging-langgang`... Kata kawan-kawan . Dengan ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat sebanyak 82 orang. Dengan barisan kabinet kerajaan pusat yang begitu fragile atau rapuh seperti sekarang ini. Dengan 3 orang ahli parlimen menolak memegang jawatan dalam kabinet kerajaan pusat yang tak pernah berlaku sebelum sebelum ini. Dengan Guan Eng menolak untuk menetap di kediaman rasmi ketua menteri Pulau Pinang kerana melibatkan kos ubahsuai sekitar RM 300,000.00. Hanya menumpang di rumah bapanya sahaja. Apatah lagi Guan Eng kata nak jadikan pemerintahannya seperti pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz.

BN, yang UMNO menjadi tunjang utamanya menjadi tak tentu arah, serba tak kena, orang kampung kata`gelabah `, ada pemimpin UMNO yang marah, melenting, salahkan Pak Lah,. Ada yang masih sayang pada Pak Lah kata, Pak Lah tak patut dipersalahkan, semua pemimpin UMNO mesti bertanggungjawab. Ada yang salahkan pengundi sendiri yang mengundi berdasarkan emosi, bukannya daripada hati nurani sendiri. Ada yang salahkan pemimpin UMNO sendiri yang sabotaj. `Makan sorang-sorang, tak bedak-bedak kat orang lain`. Ada juga kata pengundi terpengaruh dengan berita-berita dari internet, blog-blog dan sebagainya, mengenepikan berita rasmi dari TV dan akhbar-akhbar perdana.Tak kurang juga ada ahli-ahli UMNO yang mengaku undi PAS sejak dari dulu lagi. Ha ha ha... tak sangka no.. ada juga macam ni. Ada juga pemimpin UMNO Penang dengan sombongnya minta kerajaan pusat hentikan projek-projek mega di Pulau Pinang seperti second Penang bridge , monorail, jalan keretapi berkembar dan sebagainya kerana kata mereka rakyat Pulau Pinang patut terima habuan kerana memilih pembangkang dalam PRU 12 baru-baru ni. Ala ala atuk... jangan sampai... anak-anak cucu-cicit kita nanti mungkin 50 tahun lagi akan bertanya kepada kita ... Atuk !! UMNO itu apa atuk? Mungkin kita akan jawab .. UMNO tu adalah sejenis ikan?... lebih kurang besar sikit daripada ikan tamban..?? ikan spesis baru... Sedarlah sikit wahai pemimpin UMNO, satu-satu projek tu untuk sapa... untuk hampa ka untuk rakyat.... Be matured man.....

Bagi saya, ahli-ahli biasa UMNO di peringkat bawahan yang berada di kampung-kampung tidak boleh dipersalahkan 100% . Mereka tidak mendapat maklumat yang sebenar daripada pemimpin-pemimpin mereka. Mungkin juga maklumat yang mereka terima tak betul atau juga sengaja disembunyikan oleh pemimpin pemimpin mereka. Terlalu banyak maklumat atau info-info yang ahli UMNO tidak tahu. Mereka tidak tahu mengenai pembaziran, rasuah, pembohongan, penipuan duit rakyat, skandal perempuan dan banyak lagi penyelewengan yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka. Oleh itu saya amat yakin, UMNO terus tidak relevan atau tidak sesuai untuk dijadikan wadah perjuangan agama atau bangsa, kalau sekiranya UMNO terus menerus melakukan perkara-perkara berikut......

1. Sombong dan angkuh

Tidak siapa pun yang menafikan, ada di kalangan pemimpin pemimipin BN sendiri mengatakan dan mengakui bahawa salah satu sebab utama berlakunya `political tsunami` kepada BN dalam keputusan PRU 12 baru-baru ini adalah kerana keangkuhan, kesombongan dan kebongkakan pemimpin BN sendiri terutamanya pemimpin UMNO sendiri . Kadang-kadang lagak pemimpin mereka bagaikan tuhan ? `PAS ni.. buat macam mana pun tak menang aaahhh`. `TV dan surat khabar , kami kontrol... `. `Hampa mana ada apa....` Ada pemimpin UMNO kata macam tu. Orang utara kata `berlagak`.

Saya baca dalam paper STAR dalam sebulan ini, banyak pemimpin komponen BN yang lain menyalahkan pemimpin UMNO dalam hal ini. The arrogancy of UMNO leaders is the main factor of the defeat of BN in five states. Ada pemimpin MCA Kedah berkata, kita tak boleh menafikan bahawa kekalahan BN adalah kerana keangkuhan pemimpinnya dan terlalu memandang remeh keupayaan Barisan Alternatif. Ada juga yang marah-marahkan pemimpin UMNO kerana sikap mereka menghunuskan keris dan berlagak ala samseng serta menggambarkan peserta demonstrasi seperti monyet. Dalam paper STAR 14hb April 2008, seorang pemimpin UMNO Kedah dilaporkan berkata, `Be humble to the people` maksudnya bersikaplah dengan rendah diri kepada rakyat. Amboi.. la ni baru nak sedag no… Dulu rakyat nak jumpa pun payah. Secara tak langsung , mengambarkan kepada kita bahawa rakyat memang berkuasa atau dalam bahasa tamil disebut sebagai `makhal sakti`.

Walaupun begitu dari hari ke hari pemimpin UMNO terus sombong dengan sedikit kuasa yang mereka ada. Harga barang terus naik. Harga tepung naik. Harga beras naik. Harga besi pun naik berlipat kali ganda. Hampa tak gheti perintah negara kot. Macam mana hampa kontrol peniaga-peniaga? Atau hampa sombong kepada rakyat..... Kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, janganlah sombong macam pemimpin UMNO. Belajarlah daripada situasi politik yang berlaku sekarang ini. Biarlah pemimpin UMNO terjun bersama labu-labunya.

2. Berasa amat selesa

Pemimpin UMNO dari dahulu lagi hingga sekarang berasa amat selesa sekali dengan kelebihan yang mereka ada. Bila time kempen pilihanraya, mereka ada kekuatan jentera penerangan kerajaan . Tanpa rasa malu, mereka menggunakan balai-balai raya kepunyaan kerajaan untuk dijadikan bilik gerakan operasi mereka. Perlu difahami juga kerajaan dan UMNO adalah dua entiti yang berbeza. Mereka boleh memaksa pegawai-pegawai kerajaan termasuk guru-guru sekolah hadir dalam program mereka untuk memenuhi ruang-ruang kosong dewan. Mereka menghasut rakyat dengan janji atau balasan pembangunan yang berterusan. Apabila mereka menang dan bergelar YB, mereka meninggalkan rakyat, membina rumah mewah berharga RM 5 juta walaupun baru sepenggal dipilih menjadi wakil rakyat. Ada juga calon-calon UMNO dengan sombongnya berkata, `selagi aku bertanding atas bendera kati ni, aku goyang kaki di rumah pun, aku boleh menang, gerenti punya`. Mereka tak sedar bahawa ucapan seperti itu seolah mencabar Allah swt. Mereka tenggelam dengan kata-kata bongkak mereka. Mereka menjual nasib dan sokongan rakyat dengan harga sekupang dua kupang sahaja.

Tetapi, Allah Maha Berkuasa dan Perkasa. Dalam PRU 12 ini, rakyat mengajar mereka. YB UMNO yang menang (menang dalam tangisan kerana negeri diperintah oleh Pakatan Rakyat) tak boleh duduk diam. Bermula di waktu pagi, 7 pagi setiap hari, pusat perkhidmatan mereka menerima aduan rakyat jelata sampai pukul 7 petang. Baru hampa tau. Dulu, mulut hampa celupag sangat... rasa selesa saja... la ni baru hampa tau susah payah menjadi wakil rakyat sebenar. Rakyat adalah tuan kepada setiap pemimpin. Bukan seronok-seronok nak jadi pemimpin ni. Bukan jadi pemimpin semata-mata nak mencari populariti dan glamour. Pemimpin wajib memimpin rakyatnya kepada kebaikan dan rakyat pula wajib menegur pemimpin melalui apa cara sekalipun kalau pemimpin itu tidak menjalankan kerjanya sebagai pemimpin yang sebenar.

Pemimpin UMNO juga berasa amat selesa dengan kemewahan dan kesenangan yang mereka kecapi daripada penglibatan mereka dalam UMNO. Bagi mereka politik adalah segala-galanya. Terlibat dalam UMNO baru boleh dapat projek, baru boleh hidup senang, baru boleh kaya, baru business boleh maju. Bagi saya, pemikiran sebegini begitu cetek dan dangkal sekali yang boleh mengakibatkan minda masyarakat melayu tidak berkembang dan terus berada pada tahap yang ketiga sahaja.

3. Melakukan provokasi melalui media

Senjata utama BN untuk mendapat sokongan rakyat adalah melalui media samada media cetak mahu pun media elektronik. Jadi tak hairanlah, kenapa Menteri Penerangan yang baru tu sanggup memindahkan pejabat radio Selangor keluar dari bangunan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Dia takut sangat-sangat sekiranya kerajaan negeri menggunakan radio sebagai penyebar maklumat rasmi. Selain daripada itu, isu-isu yang negatif diperbesarkan dengan tujuan untuk menarik sokongan rakyat. Isu babi umpamanya diketengahkan dan dijadikan tajuk berita utama dalam media arus perdana. Dicanangnya seolah-olah kerajaan negeri Selangor telah menyebabkan bermacam-macam masalah telah berlaku seperti pencemaran bau yang teruk, rakyat hilang mata pencarian sebagai nelayan, kemusnahan hutan paya bakau, perusahaan udang dan homestay terjejas dan lain-lain lagi.

Berita mengenai ternakan babi di kawasan itu telah bermula di zaman BN lagi sejak belasan tahun sebelum ini tidak disebut. Kawasan Sepang dimenangi oleh BN tidak disebut. Projek ternakan babi yang diluluskan adalah secara moden yang menggunakan teknologi luar negara tidak disebut. Berita mengenai kegagalan kerajaan BN menangani permasalahan ternakan babi secara tidak terkawal tidak disebut. Berita yang mengatakan projek ternakan babi ini diluluskan oleh kerajaan sebelum ini tidak diterangkan dengan jelas. Yang pastinya banyak berita mengenai babi ini adalah provokasi murahan pihak media perdana yang tidak bermaruah.

Rakyat telah immune atau orang utara kata mangli dengan berita-berita sebegini. Sebab itulah bagi pandangan saya, di antara faktor utama kekalahan BN dalam PRU 12 baru-baru ini adalah kerana media yang terlampau mengongkong minda rakyat sehingga rakyat menjadi muak dan mencari berita alternatif dari sumber-sumber yang lain. Sampai satu tahap, berita yang benar dan tepat sekali pun yang terdapat dalam media perdana juga tidak dipercayai langsung oleh rakyat kerana rekodnya membawa berita yang tidak tepat dan bohong. Melalui media alternatif ini, rakyat membuat keputusan yang mana berita yang sebenar dan yang mana berita yang direka-reka. Wahai pemimpin UMNO... malulah kepada Allah.. jangan jadikan babi sebagai bahan politik murahan kamu. Percayalah, rakyat tak akan percaya dengan hasutan golongan yang berpolitik sebegini.

4. Menggunakan wang dan kebendaan untuk meraih sokongan rakyat

Kalau UMNO nak hidup lama, jangan gunakan wang untuk meraih sokongan rakyat. Kalau UMNO ikhlas dalam perjuangan menegak maruah agama, bangsa dan agama, jangan bermain-main dengan wang kerana wang adalah beracun, wang adalah berhantu. Tetapi budaya wang atau budaya sogokan dengan kebendaan ini telah sinonim dengan UMNO sejak dulu lagi. Wang telah begitu sebati dalam diri UMNO. Orang UMNO tak bekerja kalau tak dapat wang. Orang UMNO tak lekat poster kalau tak dapat wang. Orang UMNO mengundi BN kerana dapat wang. Wang adalah segala-galanya bagi mereka. No Money No Vote. Tambahan pula sekarang ini rakyat telah sedar bahawa wang yang digunakan oleh UMNO untuk menyogok rakyat adalah wang rakyat. Jadi, apabila mereka menerima wang sogokan daripada UMNO, mereka ambil. Tapi mereka mengundi PAS dan parti Barisan Alternatif yang lain. Situasi ini memeningkan pemimpin UMNO. Bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil, tapi, undi PAS.

Kita boleh melihat sendiri apa yang akan berlaku dalam pemilihan UMNO nanti hujung tahun ini. Dengan sistem kouta yang menyekat perkembangan demokrasi sebenar masih dibenarkan, dengan pemimpin-pemimpin UMNO berlumba-lumba mengejar jawatan, dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan oleh Hishamudin, dengan Ku Li cuba merawat UMNO, dengan KU LI cuba bertanding jawatan Presiden UMNO melawan Pak Lah, dengan rekod buruk UMNO dalam keputusan PRU 12 baru-baru ini, masing-masing pemimpin UMNO yang bertanding akan terus melobi menggunakan wang untuk menguasai kepimpinan UMNO. Suasana sebegini tidak wujud dalam PAS. Ingatkah lagi saudara bagaimana Tan Sri Isa Samad dilucutkan jawatannya dalam parti dan kabinet kerana dikatakan terlibat dalam politik wang?. Politik wang itu adalah rasuah le, bang ooi. Ini menunjukkan wang bermain-main di sekeliling pinggang mereka. Kalau sekiranya dalam rumahtangga UMNO sendiri masalah wang dan rasuah berleluasa, apa akan jadi kepada negara kalau negara terus dipimpin oleh sebuah parti yang hampir hancur dengan masalah rasuah dalam parti?

Wahai pemimpin UMNO, teruslah menggunakan wang dalam karier politik anda , pasti UMNO tidak relevan lagi dan terus hancussssssssssssssssss........

5. Sentiasa membangkitkan isu perkauman yang keterlaluan

UMNO parti perkauman? MCA parti perkauman? MIC parti perkauman? Bila mereka masuk kampung melayu, wajah mereka wajah UMNO. Bila masuk kawasan estet dan ladang wajah mereka berubah menjadi MIC. Apabila mereka berada di kawasan bandar dan pekan , mereka bertukar menjadi MCA pula. Relevankah suasana begini dalam konteks masyarakat Malaysia sekarang ini? Mungkin sebahagian daripada kita bersetuju kerana UMNO sendiri ditubuhkan dengan slogan `hidup melayu`. Ada juga yang tak setuju kerana mungkin bagi golongan ini berpendapat ada unsur-unsur hipokrit, talam dua muka dan tidak ikhlas, tak sesuai dengan suasana perpaduan rakyat seperti sekarang ini dan sebagainya.

Apa pun keadaannya, dalam situasi sekarang, UMNO terus membangkitkan isu perkauman untuk menarik sokongan rakyat. Pemimpin UMNO mengatakan bahawa negara boleh tergadai kepada bangsa asing, membangkitkan isu-isu yang boleh membangkitkan kemarahan bangsa asing seperti isu babi, ketuanan melayu dan sebaginya. Mereka mengatakan perlu kepada perpaduan melayu secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang parti politik. Bagi saya, isu bangsa, raja dan kesultanan Melayu, ketuanan melayu, definisi melayu dalam perlembagaan Persekutuan dan perpaduan melayu tak boleh ditinggalkan dalam perjuangan setiap parti politik melayu Islam di Malaysia. Tetapi atas dasar apa perpaduan melayu dan ketuanan melayu dapat ditegakkan? Atas dasar bangsa atau atas dasar agama atau atas dasar lain? Cuma UMNO, sehingga ke hari ini masih terus mengatakan perpaduan melayu hanya boleh berlaku melalui UMNO. Ni yang payahnya. Bagi mereka politik segala-galanya. Pemimpin UMNO masih tidak mempercayai bahawa rekod sokongan rakyat kepada mereka berdasarkan PRU 12 baru-baru ini merudum begitu teruk sekali.

Kalau kita mengimbau kembali sirah Nabi SAW setibanya Nabi SAW di Kota Madinah berhijrah dari Mekah, Nabi SAW terus diangkat oleh penduduk Madinah menjadi ketua pentadbiran Kota Madinah walaupun pada ketika itu, umat Islam masih minoriti berbanding dengan penduduk bukan Islam. Ini menunjukkan bahawa orang Islam atau Melayu masih boleh menjadi ketua negeri walaupun berada di pihak minoriti.

Kita lihat sahaja apa yang berlaku di Perak dan Terengganu. Di Perak, PAS medapat kerusi DUN yang paling sedikit iaitu 6 kerusi sahaja berbanding PKR 7 kerusi dan DAP 18 kerusi. Walaupun 6 kerusi DUN, Pas boleh menjadi Menteri Besar. Sebab apa? Inikah yang dikatakan Ketuanan Melayu mengikut Perlembagaan negara . Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut bahawa hanya melayu dan orang Islam boleh menjadi Menteri Besar. Sebab apa Ir Nizar menjadi MB? Mungkin ada kelebihan dari segi personaliti seperti mana kelebihan personaliti Nabi Muhammad SAW semasa memimpin masyarakat Madani di Madinah berbanding Abdullah bin Ubai bin Salul dari kaum Khazraj dan pemimpin `Aus yang cuba ditonjolkan oleh penduduk Madinah sedangkan Nabi saw hanya mewakili pihak Islam yang masih minoriti pada masa itu . Begitu juga di Terengganu, perlantikan YB Ahmad Said sebagai MB oleh Sultan Terengganu pada peringkat permulaan tidak dipersetujui oleh majoriti ADUN BN. Akhir sekali masalah ini selesai kerana tindakan Sultan melantik YB Ahmad Said bertepatan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu.

Jadi untuk menegakkan ketuanan dan perpaduan Melayu ini perlu kepada perpaduan menyeluruh dari seluruh rakyat bukan hanya UMNO sahaja yang boleh menyatukan rakyat. Bersikap gentleman dan professional serta bersikap secara terus terang dengan hujah- hujah yang meyakinkan di antara semua kaum. Jangan berani di belakang sahaja wahai pemimpin UMNO. Pada masa yang sama perlu kepada pimpinan utama negara yang berwibawa dan boleh mengusai suara rakyat dan juga parti-parti politik.

Oleh itu, UMNO akan terus tidak relevan kalau pemimpinnya terus membangkitkan isu-isu perkauman secara liar, tidak beretika, tidak cerdik, tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab serta mereka tidak mempunyai personaliti seperti Rasulullah saw..

Artikel ini ditulis dalm bulan April 2008
To be continued

Friday, October 24, 2008

Orang Masjid Kontemporari pembuka bicara --- Ahlan Wa Sahlan

Assalamua`laikum... Hayatilah kata-kata muqaddimah di bawah ini sebaga salam perkenalan dari saya
`PRA BICARA` PEGUAM

Alhamdulillah syukur setinggi-tingginya kepada Allah SWT serta selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarganya. Dengan `qudrah` dan `iradah ` Allah SWT serta taufik dan kekuatan yang diberikan olehNya, maka saya telah berjaya menulis dan menyusun buku ini untuk tatapan masyarakat. Topik-topik yang di`bicarakan` dalam buku ini adalah banyak berkisar mengenai dakwah, kehidupan dan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Sebahagiannya telah terbit dalam bentuk `newsletter` atas nama `suara ulamak`. Ia disusun atas kesedaran untuk memastikan seluruh individu Muslim beramal dan bekerja untuk Islam.

Urusan dakwah adalah tanggungjawab semua. Gelaran `khaira ummah` kepada kita merupakan satu `appreciation` atau penghargaan yang tinggi daripada Allah SWT. Ia perlu diterjemah dalam bentuk amali dan `kerja amal` iaitu dakwah dan tarbiyah diri. Urusan dakwah bukan hak eksklusif orang-orang atau badan-badan NGO tertentu. Semua orang adalah pendakwah. Anda yang sedang membaca catatan ini juga adalah pendakwah (berhenti sekejap... betul ke ni... aku ni pendakwah). Anda adalah orang masjid walaupun anda belum lagi ke masjid, kerana satu hari nanti anda pasti ke masjid mungkin sebagai `imam` yang terbujur kaku. Percayalah. Orang masjid mesti menjadikan masjid dan keluarga yang dibina sebagai medan dakwah yang berkesan.

`Orang Masjid` kontemporari, nama buku ini. Bukan bermaksud untuk orang masjid sahaja atau orang-orang tertentu sahaja boleh memiliki buku ini. Bukan. Ia hanya tajuk buku ini sahaja. Orang masjid ada di mana-mana. Orang masjid bukan berada di masjid sahaja. Mungkin berada di disko, pub, konsert-konsert dengan tujuan untuk berdakwah. Orang masjid berada di bangunan parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Orang masjid boleh berbicara mengenai undang-undang sivil dan Islam. Orang masjid boleh berbicara mengenai pertanian. Orang masjid mengambil berat urusan akhirat dan menjadi dunia ini sebagai laluan sementara sahaja. Mungkin juga gelaran orang masjid ini datang daripada orang yang tiada istilah masjid dalam kamus hidupnya. Anda seorang remaja, anda orang masjid. Anda ustaz dan ustazah, anda orang masjid. Anda guru dan pensyarah, anda adalah orang masjid. Anda pengurus dan pentadbir, anda orang masjid. Anda businessman dan businesswoman, anda orang masjid. Anda politician, anda juga orang masjid. Anda pak tani, anda orang masjid juga.


Siapa pun dia, orang masjid tetap hamba Allah. Orang masjid, aqidahnya bukan hanya cukup-cukup makan sahaja. Orang masjid mengambil peduli mengenai Ummah. Orang masjid bukan sahaja menjadi makmum tetapi bersedia menjadi imam bila-bila masa dan mungkin bersama anak isteri di rumah. Orang masjid bukan sentiasa berbicara nak mendirikan masjid lagi dan lagi dan lagi sehingga cukup kuota, tetapi menjaga betul betul `yang sedia ada` dan membina satu keluarga yang mempunyai ciri-ciri `mawaddah wa rahmah`. Orang masjid bersolat sunat bukan sahaja di masjid tetapi juga di rumah. Orang masjid sentiasa membaca doa makthurat, bertahlil, bertasbih, bertahmid kerana Allah. Orang masjid perlu berdakwah . Orang masjid perlu mengetahui Sirah Nabi. Orang masjid perlu mengetahui pengalaman gerakan Islam seluruh dunia. Orang masjid perlu sentiasa memperbaiki diri. Orang masjid perlu sentiasa menasihati dan ditegur. Tidak ada istilah `merajuk` dalam diri orang masjid. Orang masjid perlu sensitif dengan suasana persekitaran. Orang masjid perlu mengambil berat urusan dunia Islam . Apa yang berlaku di Palestin, Kemboja, Afghanistan, Iraq, Mindanao dan lain-lain tempat, orang masjid perlu prihatin. Orang masjid perlu faham Islam dalam erti kata yang sebenar dan merealisasikan Islam dalam kehidupan seharian.

Orang masjid bukannya meletakkan sebelah kaki sahaja untuk akhirat. Sebelah lagi digunakan untuk tujuan keduniaan yang `bergelomiang` dengan maksiat. Bukan begitu. Orang masjid juga perlu faham kesan berdakwah secara `sorang-sorang` dan `ramai-ramai`. Orang masjid bukannya `cakap tak serupa bikin` atau `kata tak dikota`. Orang masjid menggunakan ilmu yang diterima untuk beramal dan menyampaikan kepada rakan-rakan sekeliling. Orang masjid mesti berakhlak mulia. Orang masjid dilarang bercerita `hal ehwal dalam kelambu` kepada kawan-kawan di belakang isteri. Orang masjid tak boleh `main-main` dengan ayat Allah dan hukum hakam Islam. Orang masjid, jangan sekali ber`puak-puak`. Orang masjid tidak boleh menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan untuk `berak` dan `kencing` sahaja dan jarang sekali bersolat dhuha. Orang masjid tak boleh melawak lebih-lebih atau orang utara kata `ke `law law`` yang boleh menjejaskan aqidah dan amalan seharian. Orang masjid mesti berusaha meninggalkan sifat-sifat mazmumah atau keji yang ada dalam diri. Orang masjid perlu menerima pandangan orang lain dan bersedia memberi pandangan. Orang masjid tak boleh takut atau `sereyau` kepada sesiapa atau manusia lain dalam menjalankan kerja amal ini. Orang masjid hendaklah sentiasa berprasangka baik. Orang masjid mestilah berulang-alik ke masjid walaupun masjid itu berwarna merah ke.. hijau ke... biru ke... biji `ghemia` ke... kelabu ke... Apa ada pada warna, wahai orang masjid. Orang masjid kena terima pandangan ulamak dulu dan ulamak le ni. Oleh itu, orang masjid mesti baik dan berusaha menjadi baik dan menyuruh orang lain menjadi baik. Orang masjid adalah orang yang soleh wal musleh.

Jadi... wahai orang masjid ... bacalah buku ini seperti mana anda membaca buku novel. Hayati betul-betul apa yang tersurat dan tersirat dalam buku ini. Barulah faham. Saya menulis dan menyusun artikel dalam buku ini sebagai muhasabah untuk diri saya yang banyak kelemahan dan kekurangan. Walau bagaimanapun, kalau kita terlampau meraikan kekurangan kita, sampai bila kita nak memperbaiki diri. Jom sama-sama kita bermuhasabah atau menilai kembali prestasi ilmu, amal dan akhlak seharian kita.

Aku menulis bukan main-main….
Aku menulis bukan suka-suka….
Aku menulis bukan kerana nama...
Aku menulis kerana dakwah...
Aku menulis untuk menjinakkan hatiku...
Aku menulis mengenai persekitaran..
Aku menulis mengenai masyarakat...
Aku menulis kerana aku sebahagian daripada masyarakat...
Aku menulis kerana nak menjaga keluargaku...
Aku menulis buku yang mungkin banyak kesilapan dan kelemahan...
Aku menulis kerana Allah Yang Maha Besar...

Terima kasih kepada isteriku, Ainon Ariffin..
anak-anakku, Muhammad Suhail dan Nur Syifaa yang sentiasa membantu...
Tak lupa juga kepada Ustaz Zawawi Ali, Ustaz Rosli Othman,
Tn Hj Zaki Yuddin Abd Rahman, Abe Hasbullah Abu Hasan dan semua ahli Jemaah Qaryah Masjid Taman Bertam Indah, Bertam, Pulau Pinang yang sedia membantu secara langsung atau pun tidak langsung......

Beginilah... Apabila peguam berbicara.....
Bacalah dengan teliti, satu persatu tajuk dalam buku ini......
Bacalah seperti anda sedang berbicara dengan seseorang....
Ikutilah satu `perbicaraan dunia` sebelum `perbicaraan sebenar` di akhirat kelak...
Ikhlas dariku...

ROSIDI HUSSAIN
LLB (HONS) IIUM, DSLP IIUM
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA MAHKAMAH TINGGI MALAYA